Kitab Sulaim: sanad, pengesahan kebenaran, perselisihan jawatan khalifah, keutamaan Ahl al-Bait dan pujian al-Hasan al-Basri terhadap Ali a.s.
Kitab Sulaim: sanad, pengesahan kebenaran, perselisihan jawatan khalifah, keutamaan Ahl al-Bait dan pujian al-Hasan al-Basri terhadap Ali a.s.
Sanad riwayat Kitab Sulaim yang berakhir kepada Abban bin Abi ‘Iyasy
Salawat dan salam ke atas Muhammad dan keluarganya yang baik lagi terpilih. Al-Ra’is al-‘Afif Abu al-Baqa’ Hibatullah bin Nama bin Ali bin Hamidun r.a telah memberitahuku (akhbarani) pembacaan ke atas Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali di rumahnya di Hillati al-Jami‘iyyin pada Jamadi al-Ula tahun 565 Hijrah.
Beliau berkata: Syaikh al-Amin al-Alim Abu ‘Abdullah al-Hasan bin Ahmad bin Tahal al-Miqdadi telah meriwayatkan kepadaku (Haddathani) pembacaan ke atasnya dengan penyaksian Maulana Amir al-Mukminin salawatu Llahi ‘alaihi. Beliau berkata: Syaikh al-Mufid Abu Ali al-Hasan bin Muhammad al-Tusi r.a telah meriwayatkan kepada kami (haddathana) pembacaan ke atasnya pada bulan Rejab tahun 490 Hijrah.
Al-Syaikh al-Faqih Abu ‘Abdillah al-Hasan bin Hibatillah bin Ratbah telah memberitahuku daripada al-Mufid Abi Ali daripada bapanya pembacaan ke atasnya oleh maulana al-Syahid Abi ‘Abdillah al-Husain bin Ali salawatu Llahi ‘alaihi. Al-Syaikh al-Muqri Abu Abdullah Muhammad bin al-Kal telah memberitahuku daripada al-Syarif al-Jalil Nizam al-Syaraf Abi l-Hasan al-‘Aridi daripada Ibn Syahriar al-Khazin daripada Syaikh Abi Ja‘far al-Tusi. Al-Syaikh al-Faqih Abu Abdillah Muhammad bin Ali bin Syahrasyub telah memberitahuku bacaan ke atasnya di Hillati al-Jami‘iyyin dalam beberapa bulan pada tahun 567 Hijrah daripada datuknya Syahrasyub daripada al-Syaikh al-Sa‘id Abi Ja‘far Muhammad ibn al-Hasan al-Tusi r.a.
Beliau berkata: Ibn Abi Jayyid telah meriwayatkan kepada kami daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad bin al-Walid dan Muhammad bin Abi l-Qasim yang bergelar dengan Majilueh daripada Muhammad bin Ali al-Sairafi daripada Hammad bin ‘Isa daripada Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais al-Hilali. Abu Abdillah al-Husain bin ‘Ubaidillah al-Ghadi‘iri telah memberitahu kami.
Beliau berkata: Abu Muhammad Harun bin Musa bin Ahmad al-Tala‘kabari r.h telah memberitahu kami. Beliau berkata: Abu Ali bin Hamam bin Suhail telah memberitahu kami. Beliau berkata Abdullah bin Ja‘far al-Humairi telah memberitahu kami daripada Ya‘qub bin Yazid dan Muhammad bin al-Husain bin Abi al-Khattab dan Ahmad bin Ahmad bin ‘Isa daripada Muhammad bin Abi ‘Umair daripada Umar bin Abi Udhinah daripada Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais Al-Hilali.
Penyerahan Kitab Sulaim kepada Umar bin Udhinah dan syarat-syarat-nya
Umar bin Udhinah berkata: Ibn Abi ‘Iyasy telah memanggilku dan berkata: Kelmarin aku bermimpi bahawa aku akan mati cepat. Aku melihat anda pagi tadi, maka aku gembira dengan anda. Aku melihat Sulaim bin Qais al-Hilali semalam berkata kepadaku: Sesungguhnya anda akan mati pada hari-hari anda ini. Justeru itu, bertakwalah kepada Allah tentang barang simpananku, janganlah anda menghilangkannya. Laksanakan apa yang anda telah janjikan kepadaku untuk merahsiakannya. Janganlah anda menyimpannya melainkan di sisi lelaki daripada Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatullahi ‘alaihi yang mempunyai agama dan maruah.
Manakala aku melihat anda keesokannya, aku berasa gembira melihat anda, lantas aku teringat mimpiku tentang Sulaim bin Qais al-Hilali. Apabila al-Hajjaj sampai di Iraq, dia telah bertanyakan tentang Sulaim bin Qais al-Hilali, lalu Sulaim telah melarikan diri daripadanya, bersembunyi di Nubandajan dan bermalam bersama-sama kami.
Aku tidak pernah melihat seseorang yang sangat menghormati dirinya, sangat berijtihad, sangat berdukcita, sangat merendahkan dirinya, memarahi kemasyhuran dirinya selain daripadanya. Umurku pada masa itu adalah empat belas tahun. Aku telah membaca al-Qur’an dan bertanyakan kepadanya tentang ahli Badr. Aku juga telah mendengar hadis yang banyak daripada ‘Umar bin Abi Salmah bin Ummi Salmah (isteri Rasulullah Saw.), Mu‘adh bin Jabal, Salman al- Farisi, Ali a.s., Abu Dhar, al-Miqdad, Ammar dan al Barra’ bin ‘Azib. Tetapi aku telah merahsiakannya sehingga beliau hampir wafat, lalu beliau memanggilku ke sisinya seraya berkata:
Wahai Abban! Sesungguhnya aku telah berjiran dengan anda dan aku tidak melihat daripada anda melainkan apa yang aku sukai. Sesungguhnya aku memiliki sebuah buku yang aku mendengarnya dari kalangan orang yang boleh dipercayai. Buku itu aku tuliskan dengan tanganku sendiri. Di dalamnya mengandungi hadis-hadis yang aku tidak suka diketahui oleh orang ramai, kerana mereka akan mengingkarinya dan membesar-besarkannya pula. Ia merupakan kebenaran yang mana aku telah mengambil daripada ahlinya, Ali bin Abu Talib, salawat dan salam Allah ke atasnya daripada Salman al-Farisi, Abu Dhar al-Ghifari dan al-Miqdad bin al- Aswad.
Tidak ada satu hadis pun yang aku dengar daripada salah seorang daripada mereka sehingga aku telah bertanyakan pula kepada orang lain dan mereka bersepakat mengenainya. Pernah ketika aku jatuh sakit, aku berhasrat untuk membakarnya, tetapi aku berasa bersalah lalu membatalkan hasrat tersebut.
Berjanjilah dengan nama Allah bahawa anda tidak akan memberitahu sesiapapun mengenainya selama hidupku dan tidak akan memberitahu sesiapapun selepas kematianku melainkan kepada orang yang anda percaya sebagaimana anda percaya kepada diri anda sendiri. Jika berlaku sesuatu kepada anda, hendaklah anda memberikanya kepada orang yang anda percaya di kalangan Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatul Lahi ‘alaihi, orang yang mempunyai agama dan maruah. Aku telah memberi jaminan tersebut kepadanya lantas, beliau menyerahkannya kepadaku dan membacakan kesemua kandungannya kepadaku. Kemudian selepas itu Sulaim menghembuskan nafasnya yang terakhir, rahmatu Llahi ‘alaihi.
Selepas itu, aku telah membaca kitabnya dengan teliti dan mendapati ia mengandungi perkara yang besar dan menyulitkan kerana dalam kitab tersebut menunjukan kebinasaan semua umat Muhammad Saw. yang terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Tabi‘in selain daripada Ali bin Abu Talib, keluarganya salawatu Llahi ‘alaihim dan Syi‘ahnya[1].
Orang pertama aku temui selepas kedatanganku ke Basrah ialah al-Hasan bin Abi al Hasan al Basri. Beliau pada masa itu sedang bersembunyi daripada al Hajjaj dan beliau adalah daripada Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatu Llahi ‘alaihi.
Beliau telah menyesal kerana tidak membantu Ali a.s. dan berperang bersamanya dalam peperangan Jamal. Maka aku bertemu dengannya di Timur Dar Abi Khalifah al Hajjaj bin Abi ‘Itab al-Dailami. Justeru itu, aku telah membentangkan Kitab Sulaim kepadanya lantas beliau menangis. Kemudian beliau berkata: Semua hadis tersebut adalah benar, aku telah mendengarnya daripada orang yang boleh dipercayai (thiqah) terdiri daripada Syi‘ah Ali salawatu Llahi ‘alaihi dan lain lain.
[1] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 378-385, (Bab fi al-Haudh), hadis no. 578, 584, 585, 586, 587 dan 590, telah meriwayatkan bahawa para sahabat Nabi Saw. telah menjadi kafir-murtad selepas kewafatannya. Hadis no. 585. ‘‘Aku akan mendahului kalian di Haudh. Sesiapa yang melalui di hadapanku akan meminumnya dan siapa yang telah meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya. Kelak sebilangan orang yang aku kenali dan mereka pula mengenaliku akan dikemukakan di hadapanku. Kemudian mereka (para sahabatku) dipisahkan daripadaku. Ketika itu aku akan berkata: Mereka itu adalah daripadaku (para sahabatku). Dijawab: Sesungguhnya mereka telah melakukan bid‘ah-bid‘ah (ahdathu ba‘da-ka) selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauh, terjauh (daripada rahmat) mereka yang telah mengubahkan (ghayyara) Sunnahku selepasku. Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw bersabda: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka adalah para sahabatku (ashabi)! Dijawab: Sesungguhnya anda tidak mengetahui bid‘ah-bid‘ah (ahdathu) yang telah dilakukan oleh mereka selepas anda. Sesungguhnya mereka telah menjadi kafir-murtad kebelakang”. Hadis no.587 “Hanya sedikit daripada mereka terselamat seperti unta yang terpisah daripada pengembalanya.” Lihat juga Muslim, Sahih, iv, hlm.1793-6 (Kitab al-Fadha’il), hadis no. 26, 28, 29, 31 dan 32. Hadis no. 26.‘‘Kerana kamu tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauhlah, terjauhlah (daripada rahmat) mereka yang telah mengubah (baddala) sunnahku selepasku”.
Join the conversation